18 Jun 2017, ADTEC Kulim Sempena 10 terakhir Bulan Ramadan, satu ceramah yang bertajuk "Keluhuran Hati, Iman dan Taqwa" telah di sampaikan oleh Ustaz Rosmanizam Rosdi Penceramah Radio IKIM Kedah. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan dalam ceramah tersebut.
IMAN itu ada lebih dari tujuh puluh atau enam puluh cabang, tingkatan cabang tertinggi adalah ucapan LA ILAHA ILLALLAH. Iman itu bermaksud percaya dengan hati yakni mengakui tiada tuhan selain Allah, menyebut dengan lidah, dan melakukan dengan amalan.
Manakala TAQWA pula bererti menjaga, melindungi, hati-hati, waspada, memerhatikan, dan menjauhi. Dalam erti kata yang lain taqwa kesedaran dalam diri dan merasakan diri diperhatikan pada setiap masa. Oleh yang demikian tindakan yang terhasil adalah menjalankan apa yang diperintahankan oleh Allah dan menjauhi segala apa yang dilarang-Nya.
Menjadi orang beriman dan bertaqwa perlukan latihan yang berterusan dan konsisten. Setiap perbuatan, perkataan dan bisikan hati perlu dikawal dengan rapi. Hati adalah kunci bagi menjadi orang yang beriman dan bertaqwa. Sesungguhnya sekiranya hati mula diselubungi rasa dengki, marah, dendam, serta pentingkan diri maka bersegeralah mengubati hati tersebut.
“Obat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perpanjanglah”
Ubat Hati oleh OPICK
Ramadan semakin hampir ke penghujungnya. Hampir sebulan kita di madrasah Ramadan ini berusaha mendidik jiwa, menahan lapar dahaga, menahan perilaku yang sia-sia dan memperbanyak amalan hanya untuk memburu keampunan dariNya.
اللهمّ, انّك عفوّ, تحبّ العفو, فعف عنّي
Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anni
Ertinya: “Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka memberikan keampunan, maka ampunkanlah aku
amin.