PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) KULIM
ms MS en EN

Keratan Akbar

Sambut baik pengecualian cukai

 

29 November 2018, GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik pengumuman kerajaan terhadap pengecualian cukai pendapatan individu kepada wanita yang kembali bekerja mulai tahun hadapan.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, inisiatif kerajaan itu wajar dipuji kerana ia dilihat sebagai galakan kepada wanita untuk kembali bekerja setelah berehat panjang. Menurutnya, langkah itu juga sebagai langkah untuk menambahkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) di negara ini.

“Kenyataan yang dibuat menteri baru-baru ini harus diberi pujian. Ia juga dilihat sebagai galakan kepada wanita yang sudah lama berehat untuk kembali bekerja selain pemberi semangat kepada mereka yang sedang mempertimbangkan untuk kembali bekerjaya.

“Langkah ini juga boleh mengatasi kekurangan FLPR yang dihadapi negara pada ketika ini. FLPR Malaysia antara yang terendah di rantau ini kerana beberapa faktor antaranya kerana komitmen kepada keluarga dan perkahwinan. Kebanyakan mereka berhenti bekerja kepada kekurangan kemudahan dalam penjagaan anak,” katanya menerusi kenyataannya semalam.

Tambahnya, pengecualian cukai ini juga merupakan kelebihan tambahan untuk menggalakkan wanita kembali bekerja. “Semua ini adalah inisiatif yang baik, bagaimanapun, saya rasa ia perlu lebih banyak usaha dalam menangani punca utama permasalahan ini. Antaranya, menangani keperluan strategik bagi mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan dan sistem sokongan.

“Dalam hal ini, majikan memainkan peranan kerana mereka harus sedar dengan keperluan ini seperti keseimbangan penjagaan anak-anak dengan kerjaya. Majikan juga seharusnya menyediakan waktu bekerja yang fleksibel dan fasiliti penjagaan kanak-kanak.

“Dengan ketiadaan perkara ini, ia antara punca mengapa wanita memilih untuk tidak meneruskan kerjaya mereka. Mereka tidak akan berminat untuk kembali bekerja sekiranya keperluan utama mereka terhadap keluarga tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Chong Eng berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu tersebut bagi memudahkan ibu bapa mengimbangi karier dan kehidupan keluarga.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan memberi pengecualian cukai pendapatan individu sehingga 12 bulan kepada wanita yang kembali bekerja mulai tahun hadapan. Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja

 

sumber : Sinar Harian (Utara)

ADTEC Kulim +